Salam Ukhwah...:)

Photobucket

Jumaat, 30 April 2010

10 jenis pendahuluan karangan umum (SPM)

1. Perenggan jenis definisi
2. Perenggan jenis pendapat tokoh
3. Pendahuluan jenis suasana/gambaran
4. Pendahuluan jenis persoalan
5. Pendahuluan jenis peribahasa/pepatah/cogan kata
6. Pendahuluan jenis latar belakang sejarah
7. Pendahuluan jenis fakta
8. Pendahuluan jenis tajuk berita
9. Pendahuluan jenis puisi
10.Pendahuluan jenis gabungan

1)Perenggan jenis Definisi
Perenggan pendahuluan ini dimulakan dengan memberi takrifan atau definisi tentang tajuk karangan yang ditulis. Di samping definisi, anda juga boleh memberi huraian tentang tajuk karangan yang ditulis. Penulisan perenggan pendahuluan ini sesuai untuk karangan jenis deskriptif dan perbahasan.

Tajuk: Gejala Sosial
Skop : Langkah-langkah untuk membendung gejala sosial

Gejala sosial bermaksud perbuatan buruk atau negatif yang dilakukan oleh segelitir anggota masyarakat. Hal ini jika tidak dibendung mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat. Kini, gejala ini membabitkan golongan muda yang akan menjadi pewaris pucuk pimpinan negara ini, malah gejala ini melibatkan pelajar sekolah. Antara kes yang membabitkan pelajar sekolah ialah ponteng sekolah, mengugut guru, merosakkan harta benda awam, membuli pelajar junior sehingga menyebabkan kematian, dan sebagainya. Manakala, kes-kes yang membabitkan golongan muda ialah penyalahgunaan dadah, curi motosikal, pecah rumah, lumba haram, dan sebagainya. Masalah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Oleh itu, langkah kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara merupakan satu langkah wajar untuk membendung gejaa sosial dalam kalangan remaja. Selain itu, langkah-langkah lain, perlu dijalankan untuk membendung gejala sosial yang membabitkan golongan remaja.

2)Pendahuluan jenis Pendapat Tokoh
Dalam pendahuluan jenis ini, anda memaparkan pendapat tokoh berkaitan dengan tajuk perbincangan. Tokoh yang dikemukakan itu boleh yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia, tetapi tokoh tersebut hendaklah yang dikenali oleh kebanyakan orang. Pendapat ini ditulis dalam bentuk prosa atau dalam bentuk dialog, yakni dalam pengikat kata. Pendahuluan jenis ini sesuai untuk karangan jenis deskriptif, syarahan, ceramah, ucapan, rencana dan perbahasan.

Tajuk : Tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia
Skop : Cara-cara untuk memupuk minat membaca

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Malaysia 9USM), Tan Sri Ani Arope mengatakan bahawa rakyat Malaysia belum bersedia menjadikan amalan membaca sebagai tabiat harian mereka untuk menggantikan tabiat lain, terutamanya makan. Beliau mengatakan bahawa membaca ialah tabiat yang amat mustahak berbanding makan kerana setiap bahan bacaan berupaya mendatangkan pelbagai idea untuk kegunaan manusia. Ketika berucap merasmikan pelancaran buku penerbit USM di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia pada 27 Mac 2004, beliau berkata "Jadual makanan boleh ubah. Cuba jangan lupa membaca. Tabiat membaca rakyat negara ini amat kurang berbanding dengan penduduk di negara Asia lain seperti Jepun, Korea dan China. Orang Jepun misalnya, membaca dua buah buku sebulan. Orang kita nak baca dua buah buku setahun pun payah. Selepas keluar universiti pun, lupa membaca. Kita perlu membangkitkan budaya membaca ini. Saya fikir masyarakat harus kembali kepada buku, khususnya bacaan yang lebih serius dan bermotifkan ilmu pengetahuan. Walaupun perkembangan penerbitan di negara kita semakin pesat, namun tentunya tidak serancak perkembangan penerbitan majalah hiburan dan bacaan ringan yang lebih banyak melaporkan mengenai dunia artis dan glamor." Berdasarkan kenyataan Tan Sri Ani Arope di atas, maka usaha-usaha perlu dilaksanakan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

3) Pendahuluan jenis Suasana
-Dimulakan dengan mengisahkan satu keadaan atau suasana di suatu tempat yang akan dijadikan fokus untuk tajuk karangan.
-Jadi, pendahuluan jenis ini sesuai untuk karangan jenis cerita dan dekriptif.

Tajuk: Boros berbelanja
Skop: Kesan jika masyarakat suka berbelanja boros

Selepas tamat kelas tuisyen, saya pun keluar dari rumah Cikgu Siva dan menuju ke stesen bas untuk menaiki bas pulang ke rumah yang sejauh empat kilometer dari pusat bandar Sungai Petani. Dalam perjalanan ke stesen bas, saya mendapati sekelompok orang sedang menuju ke sebuah pasar raya. Pelanggan masuk dan keluar dari pasar raya itu. Setelah itu, baharulah saya mengetahui bahawa pasar raya itu sedang mengadakan promosi jualan hebat bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.Pengunjung pasar raya itu terpaksa ber asak-asak masuk kerana pasar raya itu terlalu sesak.Manakala,orang yang keluar dari pasar raya saya didapati menjinjing barangan di kedua-dua belah tagan.Mereka membeli barangan,makanan,dan pakaian dalam kuantiti yang banyak.Tidak hairanlah kadar inflasi di negara kita semakin meningkat dari setahun ke setahun.Sikap boros dan membeli tanpa perancangan patu di kawal dan sebaliknya sikap berjimat cermat patut diamalkan kerana berjimat cermat patut diamalkan kerana berjimat cermat merupakan satu amalan nilai murni.Sekiranya semua rakyat Malaysia boros berbelanja,maka pelbagai kesan akan timbul kelak.

4)Pendahuluan jenis Persoalan

- Mudah ditulis kerana pelajar perlu menulis banyak ayat tanya tentang tajuk, yakni mengemukakan beberapa persoalan yang dibincangkan dalam isi karangan.
-Sesuai untuk karangan jenis perbahasan, syarahan, ceramah, ucapan dan deskriptif
.

Tajuk : Kemalangan jalan raya
Skop : Faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya

Dewasa ini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan. Adakah kemalangan jalan raya terjadi akibat kelalaian diri-sendiri atau kelalaian orang lain? Mengapakah jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat dari setahun ke setahun, khususnya pada cuti perayaan? Apakah punca sebenar kemalangan berlaku? Mengapakah kemalangan jalan raya banyak membabitkan motosikal dan bas ekspres berbanding dengan kenderaan lain? Bagaimanakah kita hendak mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? Adakah dengan mengadakan kempen keselamatan kita dapat mengawal kadar kemalangan jalan raya? Mungkin ada anatara kita yang mengatakan bahawa kemalangan jalan raya hanya disifatkan sebagai takdir daripada Allah. Persoalannya, apakah faktor-faktor sebenarnya yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku?

Pendahuluan jenis Peribahasa, Pepatah dan Cogan Kata

-Mengandungi beberapa peribahasa, pepatah, atau cogan kata yang ada kaitan dengan tajuk yang hendak dibincangkan.
-Pelajar-pelajar tidak dikehendaki menghuraikan maksud peribahasa, pepatah, dan cogan kata yang diberi.
-Sesuai untuk karangan jenis perbahasan, ucapan, ceramah, syarahan, dan deskriptif.

Tajuk : Belia
Skop : Peranan belia dalam pembangunan negara

Peribahasa Melayu dicipta untuk dijadikan pedoman dan panduan hidup masyarakat Melayu. Antara peribahasa Melayu yang menggambarkan peranan belia dalam pembangunan negara ialah “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” dan “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Kedua-dua peribahasa ini menekankan kepentingan daya usaha semua golongan masyarakat, terutamanya golongan belia dalam membangunkan negara. Hal ini membuktikan bahawa pembangunan negara memang bergantung kepada golongan belia kerana “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, “generasi muda pelapis dan peneraju wawasan”, “remaja penggerak wawasan”, “generasi muda wawasan bangsa”, dan banyak lagi. Oleh itu, pembangunan negara memang dipertanggungjawabkan kepada golongan belia untuk merealisasikan Wawasan 2020 seperti kata pepatah “satu matlamat,satu wawasan”. Oleh itu, setiap belia perlu mengetahui peranan mereka dalam memajukan dan membangunkan negara ini.


Contoh Teks Forum Remaja

PENDISIPLINAN PELAJAR : TANGGUNGJAWAB SIAPA
Forum Remaja Pencetus Kecemerlangan Diri (Pengerusi)
Forum Remaja Jendela Kematangan Minda (Panel 1)
Forum Remaja Pintu Kesuburan Rohani (Panel 2)
Forum Remaja Membentuk Insan Insani (Panel 3)
FORUM REMAJA KUNCI REVOLUSI MASYARAKAT BERVISI (Semua)

Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu wassalaamu ‘alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia.

Warga dewan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya Nur Hasmira Hasbullah pada pagi/petang yang berbahagia ini.
Hadirin yang dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab Siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya dalam persoalan mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini.

Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara/saudari _______________________ yang merupakan __________________________ Apa khabar saudari?
Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi macamana?
Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.
Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari/saudara____________________________, jawatan. Selamat datang saudari.
Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari/saudara _________________. Selamat datang juga buat saudara.

Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya konsep tanggungjawab dan disiplin.

Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin, masyarakat dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah yang dipikul dengan baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab dan disiplin yang hebat.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, disiplin dan tanggungjawab perlu bergerak seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin tanpa tanggungjawab, dan tanpa tanggungjawab, disiplin tidak akan dapat dibentuk. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik dapat dicapai?



Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah.. Baiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan “sebelum nasi menjadi bubur”.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas pendisiplinan yang boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Jika dua orang panel kita tadi menerangkan tentang konsep tanggungjawab dan disiplin serta menghuraikan dengan selengkapnya tentang asas-asas pendisipinan pelajar, saya ingin meminta pendapat panel ketiga tentang persoalan ‘Pendisiplinan pelajar, sebenarnya terletak di bahu siapa’? Dipersilakan..

Panel Ketiga : Bismillah...Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-isu berkaitan dengan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, pada 5 Ogos 2007, berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilir telah disiarkan di Buletin 1.30.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dengar-dengarkan pantun ini :
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja. Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian, pentaakulan belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep guru merujuk kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru yang paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.
Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya. Guru dalam konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab didikan tidak kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat, media massa dan semua yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam pembentukan disiplin iaitu pendisiplinan pelajar. Seperti kata-kata sahabat Rasulullah SAW tentang penilaian baik masyarakat ( muslimin ) adalah baik pada Allah SWT dan sebaliknya jika penilaian buruk maka buruklah bagi Allah SWT.

Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang ketiga. Memang tidak dapat disangkal lagi, semua pihak harus bekerjasama bagi mendisiplinkan atau memantapkan akhlak pelajar pada masa kini bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.. Tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita yang pertama dahulu untuk memberikan sedikit ulasan.

Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah menjadi “role model” kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang berilmu dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia, insya-Allah.

Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan pegangan dan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak remaja kita menjadi insan yang berilmu dan beragama, insya-Allah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar?


Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya. Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa. Insya-Allah, sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, insya-Allah, masalah disiplin ini akan dapat diatasi. Wallahu’alam.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi. Seterusnya persoalan terakhir untuk panel kita yang ketiga, masih berlegar dalam persoalan yang sama iaitu pihak manakah yang memegang tanggungjawab yang berat dalam mendisiplinkan atau memanusiakan insan pdelajar di sekolah kita pada haroi ini?

Panel Ketiga: Terima kasih kepada sadari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang berbunyi:
Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda

Saya yakin sajak ini akan menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa’, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak ‘menjadi’.
Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada hari ini, ianya perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah umumnya dan guru khasnya. Hubungan yang erat antara guru dan ibu bapa amat penting agar masalah disiplin pelajar di sekolah dapat dikurangkan dan bukan semakin bertambah dan membimbangkan semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas beban berat untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa, guru, pihak berwajib dan masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan lebih berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan bersangka baik dengan guru-guru di sekolah.
Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, insya-Allah, masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat melahirkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).
Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam membendung kemelut ini daripada terus menjadi barah.

Sebelum kita menuding jari kepada mana-mana pihak, elok kita renung-renungkan sejenak....
Lautan Itu Dunia,
Bahtera Itu Kita,
Kemudi Itu Agama,
Peliharalah Bahtera Daripada Karam Di Lautan Dunia


Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi:
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri.
Wallahu’alam
Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia.
Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh