Salam Ukhwah...:)

Photobucket

Selasa, 7 Disember 2010

Modul Rumusan SPM


BAB 1 : TEKNIK DAN STRATEGI MENJAWAB RUMUSAN

Strategi Menjawab

Sebaik sahaja pelajar meneliti kertas soalan yang diberi, pelajar digalakkan supaya membaca arahan soalan dengan teliti. Hal ini penting untuk mengetahui kehendak soalan.

Pelajar diingatkan bahawa bagi setiap soalan mempunyai dua kata kunci atau arahan atau tugasan iaitu:
(a) Arahan pertama meminta pelajar mencari dan mengenal pasti isi-isi tersurat.
(b) Arahan kedua meminta pelajar mencari dan mengenal pasti isi-isi tersirat.

Pelajar boleh mengenal pasti isi-isi tersurat dengan menggunakan teknik SQ4R atau 6M.

Pelajar digalakkan menulis rumusan menggunakan teknik ataupun panduan yang diberi agar dapat membantu pelajar untuk melonjakkan diri untuk memperoleh markah cemerlang.



Panduan Menulis Rumusan


Rumusan terdiri daripada empat bahagian iaitu :
a) Pendahuluan
b) Isi-isi tersurat
c) Isi-isi tersirat
d) Penutup (Kesimpulan)

Bahagian Pendahuluan

*Dalam bahagian pendahuluan, terdapat format yang perlu dipatuhi oleh pelajar. Antaranya:

Pelajar digalakkan menulis pendahuluan dalam sebaris ayat saja.

INGAT! Pendahuluan yang ditulis mestilah membincangkan tema petikan yang diberi secara keseluruhan.

Pelajar dilarang menyalin bulat-bulat arahan atau kunci pertama yang terdapat di dalam soalan.

Pelajar boleh mengolah ayat sendiri berdasarkan tema petikan yang diberi secara keseluruhan.

Pelajar digalakkan supaya menukar arahan soalan dengan menggunakan perkataan yang bersinonim (sama maksud) dengan kata atau frasa tersebut.

Contoh:
(a) Faktor : sebab, punca
(b) Kesan : Implikasi, akibat
(c) Langkah : Usaha, cara

Pelajar tidak perlu menulis kembali arahan atau kata kunci kedua dalam bahagian pendahuluan.


Menulis Isi-isi tersurat

Pelajar boleh mengenal pasti isi-isi tersurat yang terdapat di dalam petikan seperti mana arahan atau kata kunci pertama dalam soalan.

Pelajar diingatkan bahawa di dalam petikan soalan kelazimannya terdapat 10 isi.

Bukan semua isi tersurat harus ditulis kembali oleh pelajar. Pelajar hanya disarankan agar menulis maksimum enam isi tersurat.

Isi-isi tersurat boleh dikenal pasti dengan menandai atau menggarisi ataupun membuat blok menggunakan pen berwarna.

Pelajar digalakkan menulis isi tersurat dengan menyusun mengikut tertib dengan menggunakan ayat yang gramatis dan lengkap.

Pelajar digalakkan menggabungkan isi-isi tersurat dengan menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, sehubungan itu, dalam pada itu, dan sebagainya.

Hal ini dikenal pasti dapat membantu pelajar untuk boleh menjimatkan bilangan patah perkataan yang ditulis.

Pelajar boleh menyalin semula ayat sama ada mengikut baris ataupun menyalin sebahagian ayat di dalam petikan tetapi pelajar dilarang menyalin bulat-bulat daripada petikan.

Pelajar hendaklah memastikan isi-isi yang ditulis memenuhi arahan atau kata kunci dalam soalan.


Menulis Isi-isi Tersirat


Pelajar digalakkan membina isi-isi tersirat berdasarkan arahan atau kata kunci kedua dalam soalan.

Pelajar perlu mematuhi arahan soalan iaitu isi tersirat merupakan isi yang tidak terdapat di dalam petikan yang diberi.

Sekiranya pelajar menulis isi tersirat berdasarkan petikan, tiada markah untuk isi tersebut.

Pelajar boleh mengemukakan dua, tiga atau empat isi tersirat tetapi sekurang-kurangnya dua isi tersirat.

Pelajar digalakkan mengolah ayat dengan menggunakan ayat sendiri dengan syarat ayat tersebut hendaklah gramatis dan lengkap.

Pelajar digalakkan menggabungkan isi-isi tersurat dengan menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, sehubungan itu, dalam pada itu dan sebagainya.

Pelajar hendaklah memastikan isi-isi yang ditulis memenuhi arahan atau kata kunci dalam soalan.

Penutup (Kesimpulan)

Pelajar disarankan supaya menulis ayat penutup sebagai kesimpulan dalam rumusan.

Pelajar disarankan supaya menulis ayat penutup ini dalam bentuk dua bahagian iaitu:
a) Ayat berbentuk cadangan
b) Ayat berbenuk harapan

Pelajar dikehendaki menulis ayat berbentuk cadangan dengan menyatakan kesan, akibat, atau implikasi kepada tema petikan.

Seterusnya, pelajar hendaklah menyatakan ayat berbentuk harapan dengan menggunakan kata hubung supaya atau agar sebagai pelengkap kepada ayat penutup tersebut.

Keseluruhannya, terdapat empat unsur yang perlu ada dalam kesimpulan iaitu:
a) Tema petikan
b) Unsur 1- Ayat berbentuk cadangan
c) Unsur 2 – Ayat berbentuk harapan
d) Kata hubung – supaya/agar


Pemerengganan dalam Rumusan

Dari segi binaan pemerengganan, pelajar bebas menulis rumusan sama ada menulisnya dalam satu, dua, tiga ataupun empat perenggan.

INGAT! Dalam penulisan pemerengganan rumusan, tidak ada satu format khusus tentang bilangan pemerengganan kerana hal ini tidak menjejaskan markah pelajar. Namun, sewajarnya pelajar mampu mengemukakan rumusan dalam persembahan yang berkesan.

Namun demikian, pelajar digalakkan supaya menulis rumusan dalam empat perenggan seperti cadangan berikut :
a) Pemerengganan 1 – Pendahuluan
b) Pemerengganan 2 – Isi-isi tersurat
c) Pemerengganan 3 – Isi-isi tersirat (T)
d) Pemerengganan 4 – Penutup (Kesimpulan)


Panduan Mengira Perkataan dalam Rumusan

Pelajar digalakkan supaya mengingati panduan mengira perkataan dalam rumusan, perkataan yang dikira sebagai satu perkataan seperti berikut :
a) Tarikh
b) Gelaran
c) Nama khas
d) Perkataan berulang (kata ganda)
e) Penggunaan kata depan ‘di’ dan ‘ke’
f) Angka yang ditulis dalam bentuk nombor atau perkataan


Pemarkahan dalam Rumusan

1. Bahagian ini memperuntukkan 30 markah iaitu:
Isi 20 markah
Bahasa 10 markah

2. Pembahagian markah mengikut bahagian ialah:
Pengenalan 2 markah
Isi tersurat (S) 1 isi : 2 markah
Isi tersirat (T) 1 isi : 2 markah
Penutup/Kesimpulan 2 markah

3. Dalam rumusan, pelajar harus mengemukakan 10 isi untuk mendapat markah penuh isi iaitu 20 markah.

4. Dalam aspek bahasa, markah diperuntukkan 10 markah. Pemberian markah bergantung kepada jumlah markah yang isi yang diperoleh.

5. Sekiranya pelajar memperoleh markah isi sebanyak 20 markah, markah maksimum aspek bahasa selayaknya 10 markah.

6. INGAT! Pelajar tidak semestinya memperoleh separuh daripada markah isi secara automatik.

7. Hal ini perlu ditentukan setelah pemeriksa berpuas hati dengan jawapan pelajar. Aspek bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata, tanda baca dan sebagainya akan diteliti sebelum markah untuk bahagian bahasa diberikan.

8. Dalam markah bahasa, sekiranya pelajar menulis rumusan dengan menggunakan bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata yang baik, tepat, dan lancar dan tidak terdapat kesalahan bahasa dan tanda baca, pelajar layak mendapat markah tambahan untuk aspek bahasa sebanyak 1 markah.

9. Sekiranya pelajar berbuat sebaliknya, 1 markah akan ditolak daripada keseluruhan markah bahasa yang diperuntukkan.

10. Sehubungan itu, pelajar harus ingat bahawa penilaian dalam rumusan bukan sahaja dinilai dari aspek isi-isi yang dikemukakan oleh pelajar.
11. Pelajar harus mengetahui bahawa aspek bahasa seperti penggunaan istilah dan kosa kata ayat untuk memperlihatkan pertauatan idea atau wacana yang sesuai dan idea yang mengikut urutan dan sebagainya amat dititikberatkan oleh pemeriksa.

12. Pelajar harus mematuhi bilangan perkataan yang dibenarkan hanyalah 120 patah perkataan. Isi atau kesimpulan yang ditulis selepas itu tidak akan dinilai.

13. Sekiranya pelajar menulis rumusan tidak mencukupi bilangan yang diarahkan iaitu 120 patah perkataan atau kurang daripada itu, markah tidak ditolak.


Aspek Kelemahan Pelajar dalam Penulisan Rumusan

  • Pelajar dikenal pasti menulis semula arahan atau kata kunci soalan tanpa menukarkannya dengan perkataan lain yang bermaksud sama(sinonim).
  • Semasa menulis isi tersurat, didapati pelajar menulis isi yang tidak tepat dengan arahan atau kata kunci pertama di dalam petikan.
  • Pelajar menulis isi tersurat berulang-ulang.
  • Pelajar bukannya menulis fakta tetapi menjadikan contoh atupun huraian sebagai isi tersurat.
  • Semasa menulis isi tersirat, didapati pelajar menulis isi yang tidak tepat dengan dengan arahan atau kata kunci kedua dalam petikan.
  • Pelajar boleh mengenal pasti isi tersirat berdasarkan isi tersurat yang disenaraikan dengan syarat mematuhi arahan atau kata kunci kedua di dalam petikan.
  • Pelajar tidak menulis kedua-dua bahagian yang dikehendaki dalam kesimpulan (ayat berbentuk cadangan dan ayat berbentuk harapan.
  • Pelajar menulis kesimpulan dalam rumusan dengan membina dua ayat ataupun lebih ayat.
  • Pelajar menyalin ayat bulat-bulat daripada petikan.
  • Menulis rumusan dengan menggunakan ayat yang tidak gramatis, ayat tergantung, ayat tidak lengkap dan sebagainya.
  • Menulis rumusan melebihi 120 patah perkataan.


BAB 2 : CONTOH MENJAWAB SOALAN RUMUSAN

Pemeriksaan Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara dan kesan-kesanya.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kegagalan atlet negara di Sukan Olimpik Sdney 2000 menimbulkan pelbagai persoalan tentang mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.
Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak. Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan sukan bertaraf dunia. Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.
Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelenggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.
Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.

Contoh Jawapan Lemah

Petikan membincangkan faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan di negara kita dan langkah-langkahnya.[PenD]
Salah satu faktor yang menghalang pembangunan sukan ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain.[S1] Sesetengahnya pula menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.[S2] Kegagalan atlet pula sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan sendiri.[S3] Pengkritik sukan berpendapat bahawa sistem pendidikan lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan ibu bapa juga mementingkan pelajar anak-anak mereka.[S4] Di samping itu,moral atlet kita dikatakan rendah dan mengaku kalah.[S5]
Kesan yang dialami ialah kemerosotan mutu sukan di peringkat negara dan juga antarabangsa.[T1] Kerajaan juga telah mengalami kerugian kerana telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan tanah air.[T2]
Kesimpulannya, semua pihak mestilah menangani masalah ini dengan segera.[PenT]
[123 patah perkataan]


Ulasan Pemeriksa


Pelajar mengemukakan pendahuluan dengan menulis semula arahan atau kata kunci pertama.

Isi tersurat
-Pelajar hanya mengemukakan 5 isi yang memberi 10 markah.Sewajarnya pelajar mestimengemukakan satu lagi isi tersurat

Isi tersirat
-Pelajar gagal mengemukakan 2 isi tersirat.Isi tersirat kedua merupakan isi tersurat.Sewajarnya pelajar menulis sekurang-sekurangnya dua isi tersirat untuk memperoleh 4 markah.

Kesimpulan yang di tulis oleh pelajar tidak lengkap kerana tidak menggabungkan ayat berbentuk cadangan dengan ayat berbentuk harapan seperti yang disarankan di samping tidak ada kata hubung agar/supaya.


Jawapan Yang Dibaiki

Petikan membincangkan punca-punca yang membantutkan pembangunan sukan negara.
Antara puncanya ialah sikap profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain[S1] di samping sikap mereka yang menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.[S2] Selain itu, mereka menuding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan diri.[S3] Mereka harus menyedari bahawa kegagalan atlet dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan[S4] di samping sikap mereka sebagai perencang sukan tidak mempunyai visi.[S5] Seperkara lagi, sistem pendidikan mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid daripada menyertai sukan.[S6]
Antara kesannya ialah mutu sukan semakin merosot di peringkat negara dan antarabangsa.[T1] Selain itu, atlet tidak dapat menjalani latihan intensif sama ada di dalam ataupun di luar negara kerana persatuan tidak mempuyai kos untuk membiayai mereka.[T2]
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah bekerjasama menanganinya supaya mutu sukan akan terus meningkat maju.
[124 Patah Perkataan]













Tiada ulasan:

Catat Ulasan